Subscribe Us

Menulis Dengan Hati...


Sebenarnya negara kita bukan lagi mengamalkan demokrasi tetapi plutokrasi. Ertinya polisi dan dasar kerajaan ditentukan bukan dengan melihat nasib rakyat tetapi ditentukan oleh golongan taikun dan jutawan. Merekalah yang memainkan peranan di belakang tabir menarik hidung para politikus yang bergantung harap kepada “funding” mereka.
.................

Pilih saja mana-mana rakyat di negara ini dan jika ditanya apakah bentuk sistem politik di negara ini? Nescaya tanpa berfikir panjang mereka akan menjawab “demokrasi”. Hujahnya mudah saja iaitu setiap lima tahun rakyat akan memilih di peti undi untuk pemimpin yang mereka percaya. Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa untuk mana-mana pengundi memilih siapa yang mereka fikirkan layak untuk memimpin. 

Sistem politik ini telah berjalan lebih dari 60 tahun dan masyarakat sudah menerimanya sebagai sistem yang terbaik. Kebebasan untuk memilih inilah yang dianggap “demokrasi” kerana pemimpin boleh ditukar sekiranya mereka gagal menjalankan tugas di kawasan masing-masing. Akhirnya parti mana yang mendapat majoriti kerusi di dalam parlimen maka merekalah yang akan memerintah negara.

Semua kita tahu bahawa demokrasi membawa konsep dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat. Namun realitinya tidak sebegitu kerana walaupun rakyat diberikan “kebebasan” untuk memilih pemimpin setiap lima tahun tetapi keadaan rakyat masih tidak berubah. 

Malah kalau dilihat dari segi ekonomi keadaan rakyat semakin menuju jurang kefakiran. Sebaliknya yang terus mengaut keuntungan adalah golongan taikun dan jutawan yang semakin meratah segala khazanah negara.

Ada yang mengatakan polisi-polisi negara dibuat hasil dari suara dan pandangan rakyat. Desakan rakyat sama ada dari NGO mahupun orang perseorangan boleh menentukan dasar kerajaan. Adakah ini benar atau hanya sekadar retorik politik untuk mengaburi mata rakyat? Jika benar begitu maka kenapakah nasib rakyat tidak berubah? Kenapakah golongan B40 semakin tertekan? 

Mengapa jurang pendapatan semakin melebar antara kaum? Kenapa perpaduan kaum masih menjadi dogma yang tidak selesai sehingga hari ini? Mengapakah projek-projek mega masih dikaut oleh kroni? Walaupun agensi-agensi kawalan telah banyak ditubuhkan tetapi kenapa rasuah masih berleluasa? Pelbagai persoalan lain yang boleh dinyatakan tanpa mempunyai jawapan yang konklusif.

Sebenarnya negara kita bukan lagi mengamalkan demokrasi tetapi plutokrasi. Ertinya polisi dan dasar kerajaan ditentukan bukan dengan melihat nasib rakyat tetapi ditentukan oleh golongan taikun dan jutawan. Merekalah yang memainkan peranan di belakang tabir menarik hidung para politikus yang bergantung harap kepada “funding” mereka. 

Setiap kali PRU diadakan, kita akan mendengar berbillion duit dihabiskan untuk berkempen, mengumpan petugas dan pengundi. Sering juga akhbar-akhbar melaporkan bagaimana rumah-rumah pemimpin dipenuhi jutaan wang tunai. Baru-baru ini kita dikejutkan bagaimana taikun-taikun ini mempunyai akaun persisir yang berjumlah berbillion ringgit. 

Dari manakah pemimpin-pemimpin ini mengaut hasil mahsul yang begitu banyak walhal gaji menteri tidak seberapa kalau bukan dari taikun-taikun?

Berapa banyak kes-kes rasuah yang dilaporkan tetapi dipadam begitu sahaja? Kenapa ini berlaku? Kerosakan kepada alam sekitar sama ada hutan dan sungai sudah acap kali dilaporkan sehingga berlaku pencemaran yang dahsyat dan mengakibatkan kematian tetapi masih tidak ada tindakan yang tegas. Malah taikun-taikun ini diberikan pelbagai pilihan dan ruang untuk terus mengaut keuntungan pula.

Apakah ini semua berlaku begitu saja tanpa ada imbuhan yang perlu dibayar kepada “penderma” ini? Mustahil tidak ada pulangan yang diberikan kepada penderma ini bak kata sesetengah orang tidak ada “free lunch” dalam hidup ini Maka sebab itu kita dengar bagaimana perompak dan pengganas diberikan pelbagai anugerah walaupun dalam usia yang sangat muda.

Apakah dengan keadaan begini kita yakin polisi dan dasar kerajaan akan mengutamakan nasib rakyat atau terpaksa mengikut selera taikun-taikun? Apa yang jelas kita lihat nasib rakyat terus dirundung malang. Mana mungkin negara akan mencapai ke mercu kegemilangan jika sistem plutokrasi ini terus berjalan.

Tidakkah sudah sampai masa untuk rakyat memikirkan sistem politik baru untuk negara kita?

AMINUDDIN YAHAYA
presiden Isma.

Post a Comment

Responsive Advertisement
Responsive Advertisement