Subscribe Us

Menulis Dengan Hati...

 


Baru lagi, belum kering lagi rakyat Melaka telah berikan lesen dan kuasa untuk UMNO menjadi perompak wang rakyat semula. Aku walaupun memahami pentingnya Melayu Islam bersatu, kadang kala rasa betul juga kata Tok Guru Nik Abul Aziz UMNO tak akan berubah dan kalau mereka terhimpit mereka adalah seperti mendokung biawak hidup. UMNO percaya atau tidak akan kembali seperti asal merompak wang rakyat dan merosakkan bangsa Melayu. - Admin

........................................

Sebelum pilihan raya negeri Melaka pada November lalu, kerajaan negeri yang diketuai Sulaiman Md Ali mendesak pelaksanaan projek penambakan mega yang dikenali sebagai Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

Meliputi 33km pesisir pantai dan lapan kawasan pilihan raya, kerajaan negeri berjanji untuk menarik pelaburan berbilion ringgit.

Projek mega itu turut dimasukkan dalam manifesto BN pada pilihan raya itu.

Dengan pembinaan projek yang dijangka meliputi 25,000 ekar tanah, ia akan mewujudkan perubahan drastik kepada pantai Melaka.

Kebimbangan terhadap projek itu dibangkitkan semasa pilihan raya negeri, terutamanya berkaitan impaknya terhadap perikanan.

Pada masa ini, projek tebus guna Klebang yang baru di bawah pelan tindakan M-WEZ sedang dalam peringkat penilaian impak alam sekitar (EIA).

Semakan Malaysiakini terhadap laporan EIA dan profil pemaju mendapati pemimpin Umno dikaitkan dengan projek itu.

Dua veteran Umno Melaka, timbalan pengerusi Umno negeri, Mohamad Ali Mohamad dan bekas timbalan exco, Ghazale Muhamad, terlibat secara langsung.

Mohamad Ali, 57, juga adalah senator dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara sekarang.

Syarikat di bawah Mohammad Ali dan Ghazale memiliki kawasan konsesi di bawah projek yang dicadangkan.

Syarikat mereka dianugerahkan 300 ekar tanah ketika tempoh BN/Umno memerintah kerajaan negeri dan Ghazale adalah timbalan exco yang menyelia hal-hal berkaitan.

Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang kemungkinan berlaku konflik kepentingan.

Firma tidak aktif dianugerahkan kawasan konsesi

Menurut laporan EIA yang dikemukakan oleh Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) Sdn Bhd, cadangan projek penambakan itu terletak kira-kira 5km dari Pekan Klebang, Melaka Tengah.

Dokumen lampiran daripada laporan EIA menunjukkan bahawa kerajaan BN terdahulu menganugerahkan 300 ekar (saiz kira-kira 226 padang bola) kawasan konsesi penambakan kepada empat syarikat.

Perjanjian itu ditandatangani antara Jun 2016 dan Februari 2017.

Empat syarikat itu ialah Dewi Pertiwi Development Sdn Bhd (DPDSB), Golden Straits Development Sdn Bhd (GDSSB), Nusa Waja Sdn Bhd (NWSB) dan BBM Ventures Sdn Bhd (BBM).

Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), empat syarikat itu berada dalam status tidak aktif dengan maklumat kewangan terkini mereka menunjukkan pendapatan mereka sebagai "sifar".

Daripada empat syarikat itu, BBM mempunyai status kewangan yang paling teruk apabila menanggung kerugian sebanyak RM107,699 pada 2016.

Berdasarkan profil masing-masing, BBM berurusan dengan cari gali mineral manakala yang lain terlibat dalam perniagaan tebus guna tanah.

NWSB paling lama ditubuhkan iaitu pada 2007 manakala BBM hanya ditubuhkan pada Januari 2015, dua tahun sebelum ia dianugerahkan kawasan konsesi berkenaan.


Syarikat dikawal oleh Mohamad Ali dan isteri

Maklumat dari SSM mendedahkan bahawa Mohamad Ali dan isterinya Rosefouziah Salleh adalah pemegang saham empat syarikat itu.

Pasangan itu memiliki sepenuhnya tiga syarikat iaitu DPDSB, GSDSB dan NWSB.

Pada pilihan raya engeri baru-baru ini, Mohamad Ali, yang membuat penampilan sulung sebagai calon BN, tewas dengan majoriti 530 undi di kawasan Sungai Udang.

Bagi BBM Ventures pula, selain Mohamad Ali dan isterinya, bekas Adun Rim, Ghazale juga disenaraikan sebagai pemegang saham.

Veteran Umno itu memegang 40 peratus kepentingan dalam syarikat itu manakala selebihnya dimiliki oleh Mohamad Ali dan isterinya.

Semakan dalam talian mendapati Ghazale dilantik sebagai timbalan exco kewangan, tanah, perancangan ekonomi pelaburan dan perindustrian selepas PRU13 semasa Idris Haron menjadi ketua menteri pada 2013.

Dalam tempoh yang sama, Ghazale merupakan timbalan exco bagi hal-hal berkaitan pembangunan sungai, pantai dan pulau Melaka.

Perlu diingatkan bahawa kawasan konsesi dianugerahkan oleh unit perancang ekonomi negeri (UPEN) di bawah pejabat ketua menteri.

Memandangkan Ghazale adalah timbalan ketua menteri dalam mengendalikan isu-isu tersebut, ia membawa kepada persoalan kemungkinan berlaku konflik kepentingan.

Selepas kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pada 2020, Ghazale dilantik sebagai timbalan speaker DUN sehingga ia dibubarkan pada Oktober lalu.

Kerajaan negeri berjanji dapatkan kelulusan

Mengikut perjanjian yang ditandatangani oleh pemaju dan kerajaan negeri, sebaik sahaja projek tebus guna itu siap, kerajaan negeri akan menerima satu perenam bahagian tanah tebus guna itu. Tanah-tanah ini akan menjadi "tanah kerajaan".

Sementara itu, jika pemaju meminta bantuan, kerajaan negeri akan membantu syarikat mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk memastikan projek yang dicadangkan itu "diluluskan dan disahkan dengan cepat oleh pihak berkuasa yang berkaitan".

Gene & Quin Holdings Sdn Bhd, salah sebuah syarikat induk pemaju projek, mengumumkan di laman webnya bahawa projek itu akan terdiri daripada kawasan perumahan, kawasan komersial, pembangunan marin pinggir laut dan kemudahan kapal layar tepi laut.

Malaysiakini telah menghubungi Mohammad Ali, Ghazale dan Gene & Quin Holdings (syarikat induk Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) untuk mendapatkan komen.

Semasa pilihan raya negeri Melaka, BN berjanji untuk melaksanakan projek M-WEZ yang disifatkan sebagai “game-changer” kepada ekonomi negeri.

Bagaimanapun, PH dan Perikatan Nasional (PN) menentang projek itu dengan alasan ia akan memberi kesan kepada aktiviti perikanan tempatan.

Post a Comment

Responsive Advertisement
Responsive Advertisement